Perubatan Islam

Pengenalan:

Perubatan Islam didefinasikan disini sebagai satu sistem perubatan yang mempunyai beberapa sub-sistem yang selari dengan ajaran Islam seperti perubatan rohaniah, perubatan Nabi dan perubatan Unani. Ketiga-tiga sistem ini diintegrasi secara harmonis sehingga melahirkan satu kardah perubatan yang menyeluruh dengan beberapa kaedah dan pendekatan.

Perubatan Islam mempunyai beberapa perbezaan dengan perubatan moden (barat) khususnya dari segi falsafah dan pengiktirafan terhadap kaedah-kaedah yang berbagai-bagai (cth. Berdoa sebagai satu cara rawatan), sungguhpun begitu terdapat persamaan dari segi material medika (ubat-ubatan) yang digunakan dan penggunaan teknologi dan inovasi untuk tujuan perubatan.

Dalam tamadun Islam bidang perubatan menjadi cukup istimewa kerana ia adalah sains yang paling awal berkembang, paling masyhur dan unggul.

Perubatan Islam lebih menjadi pilihan utama dan berkembang sebagai bidang ilmu yang saintifik di dalam banyak bahagian dunia Islam khususnya di kawasan Indo Pakistan.

Larangan Islam terhadap tenung nasib dan sihir mendorong perubatan yang rasional berkembang pesat. Seorang sahabat Rasulallah, Harith Ibn Khalada adalah antara saintis awal muslim yang mengajarkan perubatan saintifik ala Galenisme kepada penduduk-penduduk Madinah setelah ia mempelajari ilmu perubatan itu di Jundishapur, Iran. Ini juga menunjukkan dengan jelas bahawa aktiviti-aktiviti saintifik telah bermula ketika Rasullah masih hidup dan bukan selepas kewafatan baginda sebagaimana yang didakwa oleh ahli sejarah sains moden.

Sains perubatan Islam berkembang pesat bukanlah secara kebetulan tetapi kerana ia mempunyai dasar dan falsafah yang kukuh dan serasi dengan ajaran dan tuntutan Islam. Sains perubatan bertitik tolak dari idea-idea konseptual seperti konsep manusia, hubungannya dengan alam, konsep sihat dan uzur, penyebab kepada keuzuran, bagaimana mengembalikan kesihatan, makenisme dan tindak balas badan serta organ dan lain-lain idea yang sebenarnya bersifat falsafah. Kajian dan pemahaman tentang sains perubatan Islam menunjukkan bagaimana falsafah berkembang menjadi sains yang praktis dalam kehidupan manusia. Dalam kata lain, dari falsafah lahirlah sains.

Sejarah  dan Pencapaian Sains Perubatan Islam

Sejarah sains perubatan Islam mempunyai sejarah yang cukup panjang. Kemuncak pencapaian perubatan Islam ialah dalam zaman Abbasiah dan berlanjutan sehingga zaman pertengahan. Idea-idea tentang perubatan dan juga farmakologi banyak diserap dari kaedah perubatan Hippokrates dan Galen dari Yunani yang telah berkembang sejak abad ke-4 SM lagi. Tetapi idea-idea Yunani ini tidaklah diambil secara membabi buta sebaliknya diubah suai dan disesuaikan dengan ajaran Islam yang berdasarkan Al -Quran dan Sunnah.

Pencapaian dan kemajuan perubatan Islam boleh dilihat dari ketokohan para doktor Islam seperti Ibn Sina, Al -Zahwari dan lain-lain dan karya-karya besar mereka serta dengan melihat inovasi-inovasi dan pemikiran baru dalam bidang perubatan.

Sebuah kitab yang ditulis oleh Ibn Usaybiah yang bertajuk Uyun Al-Anba Fi-Tabaqat Al-Tibba (Nama-nama masyhur dikalangan para doktor) menyenaraikan sejumlah 37 nama para doktor yang terkenal dan karya-karya mereka. Manakala dalam Kitab Ibn Al-Qifti yang bertajuk Tarikh Al-Hukama terdapat 23 nama para doktor Islam dan karya-karya mereka. Ini menunjukkan kecemerlangan profesyen perubatan dalam tradisi Islam.

Beberapa nama besar dalam sejarah perubatan Islam seperti Ibn Sina, Al-Razi dan Al-Zahrawi (sekadar menyebut beberapa nama) menjulang sampai ke Universiti-universiti di Eropah dan karya-karya mereka menjadi teks utama sehinggalah ke abad
19 Masihi.

Ibn Sina (ms 1037) merupakan seorang doktor Islam yang produktif. Sejumlah 456 buah buka yang dikatakan hasil karya beliau. Antara karya beliau yang terkenal ialah Qanun fi Tibb , yang mengadungi 5 jilid. Kitab beliau itu digunakan selama lebih 6 abad di Universiti-universiti di Eropah. Kitab ini menceritakan gejala-gejala penyakit seperti diabetis dengan baik, penyakit penyakit jangkitan seks dan, penyakit penyakit berjangkit lain seperti TB. Sebuah kitab beliau yang lain As-Syifa, adalah sebuah karya besar yang menyentuh aspek psikologi dan juga aspek-aspek falsafah.

Al-Zahrawi (ms 1013) adalah doktor Islam dari utara Afrika. Karya beliau Al-Tasrif diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa Erolah dan menjadi rujukan penting di Fakulti-fakulti perubatan di Eropah pada zaman pertengahan. Ciptaan beliau juga yang berupa alat-alat pembedahan memperkayakan lagi pengetahuan pembedahan dalam perubatan.

Sumbangan-sumbangan penting lain Islam dalam bidang perubatan ialah penubuhan hospital-hospital baik untuk orang awam atau untuk kerja-kerja penyelidikan. Untuk menjaga mutu perkhidmatan hospital dan pengamal-pengamal perubatan pengawas-pengawas yang dipanggil Muhtasib memainkan peranan yang penting melalui Jabatan atau Dewan Al-Muhasabah. Pengamal-pengamal perubatan Islam juga mempunyai kod etika yang menyamai kod etika Hippokrates dan dipertanggungjawabkan secara langsung dalam amalan perubatan mereka.

Pencapaian yang disentuh secara ringkas diatas adalah bukti jelas keunggulan perubatan Islam sebagai satu sains walaupun dengan ukuran dan standart barat dan perbincangan seterusnya akan menunjukkan bahawa perubatan Islam agak unik kerana kesepaduannya dengan falsafah.

Perubatan Nabi atau Tibb Nabawi dan Perubatan Rohaniah atau perubatan Al- Quran

Perubatan Unani atau Galenisme ialah doktrin perubatan Yunani yang diserap dalam perubatan Islam. Galenisme yang dipraktis oleh umat Islam lebih tepat diistilahkan sebagai Galenisme Arab kerana telah mengalami ubah suai yang banyak supaya selari dengan idea-idea Islam. Asas-asas penting doktrin Galenisme ini ialah doktrin humoral dan farmakologikal Galen. Kebanyakan ahli-ahli perubatan Islam menerima perubatan Unani dan diintegrasikan dalam perubatan Islam kerana ia dianggap sebagai perubatan yang bersumber daripada humaka-humaka terdahulu yang diberi kebijaksanaan (wisdom) oleh Allah S.W.T.

Perubatan Nabi atau Tibb Nabawi ialah doktrin perubatan yang berasal daripada ajaran Nabi Muhammad S.A.W. Doktrin tersebut dibentuk daripada hadis-hadis dan Sunnah Rasul, yang termasuk hadis yang dianggap lemah sanadnya. Ini termasuk dalam hal asal-usul penyakit, simptom dan juga ramuan ubat. Turut termaktub dalam doktrin tersebut ialah  penggunaan bahan-bahan seperti madu memalui pemakanan atau pun penjagaan kesihatan penjagaan kebersihan.

Perubatan Rohaniah ialah perubatan dengan menggunakan doa sama ada secara langsung atau melalui bahan tertentu seperti air atau sebagainya. Doa doa ini biasanya diambil dari ayat-ayat Al-Quran atau Hadis dan dibaca oleh seseorang yang dipercayai alim atau mempunyai keramah. Walaupun perubatan rohaniah amat kerap digunakan untuk merawat penyakit yang disifatkan bersifat rohaniah atau psikosomatik, tetapi ia juga digunakan untuk merawat penyakit-penyakit kronik dan penyakit biasa yang lain. Ia juga sering menjadi pelengkap kepada kaedah-kaedah rawatan secara Unani , perubatan Nabi bahkan oleh perubatan moden.

Walaupun, wujud pendekatan yang agak berbeza dari ketiga-tiga jenis perubatan Islam ini, namun setiap satu boleh berdiri sendiri dan juga saling melengkap dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Beberapa ahli sejarah perubatan seperti  C. Burgel cuba membuat pembahagian secara diakotoni antara perubatan Unani dengan perubatan lain atas alasan perubatan Unani adalah perubatan yang berasaskan rasionaliti manakala perubatan Rohaniah dan Tibb Nabawi adalah perubatan keagamaan dan bukan rasional.

Tetapi jika dilihat dari segi amalan dan juga idea disebalik amalan ini kita akan dapati bahawa ketiga-tiganya adalah saintifik dan mempunyai sumber ambilan yang sahih.

Manusia sebagai mikrokosmos alam dan makrokosmon

Dalam pandangan Islam, terdapat satu hubungan yang sepadu  antara alam dengan setiap makhluk yang hadir didalamnya termasuklah manusia. Kerana hubungan yang cukup rapat inilah maka manusia disebut sebagai alam kecil (mikrokosmos/alam soghir)  manakala alam ini sendiri adalah alam besar (makrokosmos/alam kabir)

Dalam faham kosmogoni Islam manusia menduduki hairarki yang tertinggi dari semua kejadian dan dianggap sebagai sebaik-baik kejadian yang dicipta Tuhan. Allah telah menjadikan apa yang ada di alam ini, wujud pula secara simbolik dalam tubuh manusia.

Oleh itu manusia walaupun tidak dapat mengetahui alam ini seluruhnya dengan pancaindera tetapi ia dapat memahami alam ini dengan mengkaji dirinya sendiri.

Pengetahuan anatomi dalam tradisi Islam bukan sahaja berdasarkan maklumat-maklumat emperikal malah melalui analogi kosmik yang berunsurkan falsafah berdasarkan konsep hubungan mikrokosmos dan makrokosmos. Ahli-ahli falsafah seperti Ikhwan Al-Safa banyak menggunakan analogi kosmik dalam menghuraikan sistem anatomi dan fisiologi  manusia dan bukan melalui pembedahan!. Contohnya adalah tujuh anggota penting manusia iaitu otak, urat-urat halus, urat besar, tulang, daging, darah dan kulit adalah gambaran adanya tujuh petala langit dan tujuh petala bumi.

Konsep Insan sebagai mikrokosmos ini bukan hanya menjadi pegangan ahli-ahli ilmu di Timur tengah malah tersebar sampai kealam Melayu dan satu contoh yang MAHASI paling nyata dalam Kitab Bustan Al-Salatin, karya Syeikh Nurudin Al- Ranin, yang memberikan analogi antara insan dengan alam ini seperti katanya;

‘Sebermula lagi barang yang dijadikan Allah S.W.T dalam bumi ini adalah dalam ujud insan, bahawa ada bagi bumi gempa maka ada bagi insan itu gerak-gerak tubuhnya dan ada bagi bumi itu tetap maka  adalah bagi insan itu sabar menahani hatinya dan ada lagi bumi itu mata air dan sungai maka adalah bagi insan itu uratnya, dan ada lagi bumi itu tumbuh-tumbuhan maka ada bagi insan itu rambutnya dan ada bagi bumi itu bukit dan batu maka adalah bagi insan itu segala tulang dan sendi dan ada bagi bumi itu laut maka adalah bagi insan itu perut. Dan ada bagi laut itu ikan makan adalah bagi insan itu gelang-gelang (cacing) demikan lagi ada bagi bumi itu segala binatang maka adalah bagi insan itu kutu dan kuman. Dan ada bagi bumi itu segala unggas dan segala binatang jijik dan binatang liar dan binatang yang buas-buas dan yang melata maka adalah bagi insan itu segala perangai yang jahat dan perangai yang baik… (Bustan Al- Salatin, mss.)

Selain daripada melihat manusia sebagai makhluk yang kompleks dari segi fizikalnya melalui anatoni dan juga analogi kosmik, Syekh Nuruddin juga menekankan ciri spiritual yang ada dalam diri manusia. Aspek spiritual yang diterangkan adalah seperti berikut : “… Adapun pancaindera batin itu lima perkara jua. Pertama: khayal tempatnya pada ubun-ubun. Kedua: waham tempatnya pada sisi khayal juga. Ketiga: fikir tempatnya disisi waham juga, Keempat: faham tempatnya disisi fikir juga, Kelima: hafaz, tempatnya pada kesudahan kepala diatas kuduk, Dan dijadikan Allah Taala dalam wujud insan itu empat jauhar, pertama; roh;  kedua; Ashiq,  ketiga; Aqal;  keempat; Nafsu dan dijadikan Allah Taala bagi roh itu empat sifat iaitu empat perkara nafsu pertama amarah, kedua lawamah, ketiga malhamah dan keempat mutainnah. Maka adalah empat perkara jauhar itu tertakluk pula dengan empat anasir… ( Bustan Al-Salatin )

Pandangan ini mencetuskan perspektif bahawa konsep kesihatan mestilah merangkumi kesejerahteraan dan juga aspek fizikal dan juga spiritual. Pandangan seperti diatas juga mendorong manusia melihat sebagai makhluk yang sepadu dan langkah-langkah rawatan mestilah mengambil  kira kesepaduan ini.

Hubungan antara mikrokosmos dan makrokosmos ini saling melengkapi. Perubahan dalam alam akan meninggalkan kesan kepada manusia. Oleh itu selain dari punca-punca dalam badan yang menjejaskan kesihatan, ahli-ahli perubatan Islam menerima enam faktor khususnya yang dari luar yang penting dalam mempengaruhi kesihatan.

Enam faktor yang dinamakan  ‘sittah daruriyyah’ ini adalah seperti berikut;

  1. Udara dan persekitaran

Dalam sistem perubatan Islam udara amat penting kerana ia mempunyai dua fungsi iaitu sebagai sumber kehidupan dan juga penyaman sistem badan. Ahli-ahli perubatan Islam amat mementingkan persekitaran yang baik untuk hidup yang sejahtera dan ini bukan sehaja mempengaruhi pemikiran mereka tentang kesihatan tetapi juga pemilihan tapak untuk tempat tinggal atau bandar.

  1. Pengambilan makanan dan minuman

Ahli-ahli perubatan Islam menekankan kesederhanaan dan amalan pemakanan. Makanan dan minuman adalah faktor luar yang amat segera dan berkesan kepada kesihatan kerana ia mempengaruhi sistem fisiologi badan secara langsung. Pemakanan yang betul akan menjamin kesihatan manakala berlebihan atau mengambil makanan yang memudaratkan kesihatan.

  1. Pergerakan dan kerehatan badan

Aktiviti kesihatan mempengaruhi keadaan fisiologi seseorang kerana setiap aktiviti sama ada lama atau sekejap atau pun aktif atau pun aktif akan mempengaruhi cairan atau humor dalam badan kesederhanaan dalam bekerja dan berehat amat penting dalam menjaga kesihatan seseorang.

  1. Kecukupan tidur

Tidur akan memberi kerehatankepada sistem tubuh dan ini amat penting dalam menjaga  kesihatan badan. Tidur yang sesuai pada ketika dan masanya adalah baik untuk kesihatan manakala berlebihan tidur akanmenjadi seseorang malas dan lembab.

  1. Ketenangan emosi dan aspek psikologi

Ketenangan emosi seseorang boleh mempengaruhi kesihatannya. Aspek emosi ini termasuk nafsu. Oleh itu ahli perubatan dan rohani Islam meminta manusia melatih nafsu mereka, khususnya nafsu amarah dan nafsu lawwamah. Kegembiraan dan rasa senang hati juga meninggalkan kesan yang besar kepada keadaan kesihatan seseorang.

  1. Nyahan cairan-cairan dan bahan kumuh dari badan

Keterlaluan ataupun menahan pembuangan bahan-bahan daripada badan seperti najis, air kencing dan peluh mempunyai kesan langsung kepada kesihatan. Pembuangan bahan-bahan ini dalam kadar yang sesuai akan memelihara kesihatan.

Seorang doktor Islam bukan sahaja melihat kecederaan mizaj- iaitu keseimbangan akibat kualiti humor dan kecerderaan organ, tetapi juga akan melihat sejauh mana faktor yang enam ini berperanan dalam menentukan kesihatan seseorang. Oleh itu kunci kepada kesejahteraan dan juga kesihatan ialah kesederhanaan dalam setiap perbuatan dan selari dengan satu hadis dan Nabi S.A.W sebaik-baik pekerjaan ialah yang pertengahan (sederhana)

Mikrokosmos dan juga makrokosmos juga ciptaan Tuhan dan juga tempat atau tanda tuhan memperlihatkan ‘ayat-ayatNya’. Walaupun terdapat perbezaan yang nyata antara manusia dan alam, iaitu manusia sebagai kejadian Tuhan yang sentiasa bersifat dinamik dan aktif manakala alam ini pula sentiasa bersifat pasif, tetapi diantara kedua-dua makhluk ini terdapat persamaan iaitu masing-masing adalah ciptaan Tuhan dan ini menwujudkan satu kesatuan anatara alam dan manusia. Lantaran itu terdapat semacam simpati atau hubungan intergral antara manusia dan alam.

Hubungan yang terselindung ini dimanfaatkan oleh pengamal-pengamal perubatan terutama ketika merawat pesakit. Dalam konteks ini ubat tertentu mewakili unsur-unsur tertentu baik secara simbolik ataupun secara aktual yang berperanan dalam proses rawatan. Oleh itu rawatan tidak sekadar melalui ubat yang nilai simboliknya sesuai dengan idea wujudnya satu kesimpatian antara mikrokosmos dan  makrokosmos

Kesimpulan

Wacana diatas adalah dalil-dalil yang menunjukkan bahawa perubatan adalah satu disiplin ilmu yang mempunyai pemikiran-pemikiran falsafah yang kemudiannya dikembangkan menjadi satu kemahiran (seni) dan juga sains.

Kebanyakan displin ilmu sains Islam mempunyai pola perkembangan yang sama iaitu diasaskan dari ilmu-ilmu dan konsep-konsep yang filosofikal dan berkembang menjadi satu sains dan berupaya menghasilkan teknologi-teknologi hebat ini menunjukkan bahawa falsafah mempunyai kedudukan yang amat penting dalam perkembangan sains Islam.