Perubatan Ibnu Sina

Satu Pengenalan Ringkas

Oleh : Naseer Sobree

PENDAHULUAN

Perubatan Ibnu Sina merujuk kepada sebuah sistem perubatan yang berdasarkan pengajaran dan penulisan Ibnu Sina dalam bidang perubatan. Ibnu Sina dikenali juga dengan nama Latin beliau iaitu Avicenna.

Sistem perubatan yang dikemukakan oleh Ibnu Sina merupakan hasil kesinambungan dan penambahbaikan yang dilakukan oleh beliau terhadap sistem Perubatan Greek. Tokoh awal Perubatan Greek ialah Hippocrates dan Galen. Penulisan kedua-dua tokoh ini dikaji oleh para ilmuwan Islam setelah berlaku penterjemahan daripada Bahasa Greek kepada Bahasa Arab.

Walaupun terdapat ramai tokoh-tokoh Islam yang terlibat dalam bidang perubatan, Ibnu Sina tetap menjadi rujukan utama dalam sistem Perubatan Greek-Arab. Penulisan Ibnu Sina yang paling berpengaruh dalam bidang perubatan ialah Al-Qānūn fī al-Ṭibb yang dikenali di Barat sebagai The Canon of Medicine. Di peringkat antarabangsa, sistem ini lebih dikenali sebagai Perubatan Yunani (Unani Medicine).

Dua negara yang masih mengamalkan Perubatan Ibnu Sina secara meluas ialah India dan Pakistan. Namun tidak dapat dipastikan sejauh mana penggunaan Perubatan Ibnu Sina di sana, sama ada ia menjadi dasar ilmu perubatan yang disokong oleh Perubatan Moden, atau ia hanya sekadar sokongan bagi Perubatan Moden yang menjadi dasar.

Secara umumnya, ada dua tajuk besar dalam perubatan, iaitu;

  1. Perubatan Teoretikal
  2. Perubatan Praktikal

PERUBATAN TEORETIKAL

Perubatan Teoretikal membincangkan perkara-perkara yang bersifat teori seperti pengetahuan mengenai struktur tubuh, fungsi tubuh, jenis penyakit dan punca penyakit. Perubatan Teoretikal boleh dikelaskan dalam 4 tajuk iaitu;

  1. Keadaan Sihat (Fisiologi)
  2. Keadaan Sakit (Patologi)
  3. Punca Keadaan (Etiologi)
  4. Tanda Keadaan (Simptomatologi)

Keadaan Sihat

Keadaan Sihat merujuk kepada struktur dan fungsi tubuh yang normal. Ia dikenali juga dengan nama “Perkara-Perkara Tabi’i” (Umūr Ṭabī‘iyyah). Dalam Perubatan Ibnu Sina, tubuh yang sihat mempunyai 7 komponen yang utama iaitu;

  1. Unsur (Arkān).
  2. Sifat (Mizāj).
  3. Humor (Akhlāṭ).
  4. Organ (A‘ḍā’).
  5. Roh (Arwāḥ).
  6. Tenaga (Quwâ).
  7. Fungsi (Af‘āl).

Unsur ialah struktur yang paling asas bagi manusia. Gabungan unsur menghasilkan pelbagai struktur lain. Terdapat 4 jenis unsur iaitu Api, Angin, Air dan Tanah.

Sifat ialah kualiti yang ada pada unsur dan gabungan unsur. Terdapat 4 sifat yang asas iaitu Panas, Sejuk, Kering dan Basah. Setiap unsur memiliki 2 sifat. Api bersifat Panas dan Kering, Angin bersifat Panas dan Basah, Air bersifat Sejuk dan Basah, Tanah bersifat Sejuk dan Kering.

Humor ialah cecair tubuh. Terdapat 4 jenis humor iaitu Damm (darah), Balgham (dahak), Ṣafrā’ (hempedu kuning) dan Sawdā’ (hempedu hitam). Damm mewakili unsur Angin serta bersifat Panas dan Basah. Balgham mewakili unsur Air serta bersifat Sejuk dan Basah. Ṣafrā’ mewakili unsur Api serta bersifat Panas dan Kering. Sawdā’ mewakili unsur Tanah serta bersifat Sejuk dan Kering.

Organ ialah struktur pejal yang terhasil daripada humor. Terdapat dua jenis organ iaitu organ tunggal (a‘ḍā’ mufradah) dan organ gabung (a‘ḍā’ murakkabah). Organ tunggal dalam Perubatan Ibnu Sina merujuk kepada ‘tisu’ dalam Perubatan Moden seperti lemak, tulang dan daging. Organ gabung pula menepati istilah organ dalam Perubatan Moden seperti jantung, hati, ginjal dan peparu.

Roh ialah sejenis gas halus yang memberikan keupayaan hidup kepada manusia. Jika dibandingkan dengan Perubatan Moden, roh boleh disamakan dengan gas oksigen.

Tenaga ialah keupayaan semula jadi yang mentadbir segala proses dalam tubuh. Terdapat 3 jenis tenaga iaitu Tenaga Tabi’i yang mengurus nutrien, tumbesaran dan keturunan, Tenaga Hayawani yang mengurus penghasilan tenaga, suhu badan dan pergerakan, Tenaga Nafsani yang mengawal segala proses Tabi’i dan Hayawani melalui proses sensori (input) dan motor (output).

Fungsi ialah segala proses yang berlaku dalam tubuh. Terdapat 2 jenis fungsi iaitu Fungsi Tunggal seperti penyerapan nutrien yang hanya melibatkan Tenaga Tabi’i sahaja, dan Fungsi Gabung seperti rasa lapar yang melibatkan Tenaga Tabi’i dan Tenaga Nafsani.

Keadaan Sakit

Keadaan Sakit merujuk kepada struktur dan fungsi tubuh yang tidak normal. Perbincangan utama bagi tajuk ini ialah jenis-jenis penyakit. Penyakit dibahagikan kepada dua iaitu penyakit struktur dan penyakit fungsi.

Penyakit struktur dibahagikan kepada 2 kategori iaitu Penyakit Struktur Tunggal dan Penyakit Struktur Gabung. Ada 3 jenis Penyakit Struktur Tunggal iaitu perubahan mizāj (sifat) struktur, perubahan kuantiti dan kualiti struktur, serta pemisahan struktur. Penyakit Struktur Gabung pula melibatkan gabungan Penyakit Struktur Tunggal seperti bengkak. Penyakit fungsi melibatkan perubahan fungsi tubuh sama ada secara kuantitatif atau kualitatif.

Punca Keadaan

Punca Keadaan ialah perkara-perkara yang boleh menyebabkan Keadaan Sihat dan Keadaan Sakit. Secara umum, perkara yang memberi kesan kepada kesihatan mungkin bersifat wajib, iaitu semua manusia tidak terlepas daripada menghadapinya, ia dinamakan Punca Daruri. Ada juga perkara yang memberi kesan kepada manusia, namun ia tidak bersifat wajib, ia dinamakan Punca Tidak Daruri. Jadi ada 2 jenis punca secara umum iaitu;

  1. Punca Daruri
  2. Punca Tidak Daruri

Punca Daruri merangkumi 6 perkara asasi yang wajib dihadapi oleh semua manusia iaitu;

  1. Persekitaran
  2. Makanan dan Minuman
  3. Gerak dan Diam Jasmani
  4. Gerak dan Diam Rohani
  5. Tidur dan Jaga
  6. Pengurungan dan Pengosongan

Persekitaran merujuk kepada tempat tinggal, jenis tanah, bentuk muka bumi, udara sekeliling, cuaca setempat, udara sekeliling dan pertukaran musim.

Makanan dan minuman merujuk kepada apa yang dimasukkan ke dalam mulut dan perut, sama ada pepejal atau cecair, nutrien atau ubatan.

Gerak dan diam jasmani merujuk kepada aktiviti luaran yang bersifat fizikal seperti berjalan, berlari, melompat, duduk, berbaring, meniarap dan terlentang.

Gerak dan diam rohani merujuk kepada aktiviti dalaman yang bersifat mental dan emosional seperti berfikir, berkhayal, marah, gembira, takut, sedih, suka dan benci.

Tidur dan jaga merujuk kepada kesedaran seseorang manusia, iaitu sama ada ia sedar dan dinamakan jaga ataupun ia tidak sedar dan dinamakan tidur. Keadaan tidak sedar merangkumi keadaan pengsan, koma dan pitam.

Pengurungan dan pengosongan merujuk kepada bahan-bahan dalam tubuh yang dibuang dari tubuh atau dibiarkan begitu sahaja. Antara proses pengosongan bahan dalam tubuh ialah pemuntahan melalui ubat pemuntah, pencaharan melalui ubat pencahar dan perdarahan melalui fasdu (faṣd/venesection), bekam atau torehan. Apabila proses pengosongan tidak dilakukan, bahan-bahan tersebut dianggap menghadapi proses pengurungan.

Adapun Punca Tidak Daruri, ia merujuk kepada perkara-perkara lain yang memberi kesan kepada tubuh selain daripada 6 Punca Daruri. Sebahagian Punca Tidak Daruri tidak bertentangan dengan tabi’at tubuh seperti berpakaian, bermusafir, mandi dan bersenam. Ada juga Punca Tidak Daruri yang bertentangan dengan tabi’at tubuh seperti letupan, kebakaran, luka, terpotong, pelanggaran dan terjatuh.

Tanda Keadaan

Tanda Keadaan ialah perkara-perkara yang boleh menunjukkan Keadaan Sihat dan Keadaan Sakit. Tanda Keadaan boleh dikesan melalui struktur tubuh atau fungsi tubuh.

Struktur tubuh yang sempurna dari segi warnanya, bentuknya, kedudukannya, bilangannya dan saiznya menunjukkan keadaan tubuh yang sihat. Manakala keadaan struktur tubuh yang tidak sempurna menunjukkan keadaan tubuh yang sakit.

Fungsi tubuh yang sempurna dari segi jenisnya dan kadarnya menunjukkan keadaan tubuh yang sihat. Manakala fungsi tubuh yang tidak sempurna menunjukkan keadaan tubuh yang sakit.

Dalam Perubatan Ibnu Sina, terdapat 4 kaedah utama untuk menilai keadaan tubuh iaitu dengan memerhati perkara-perkara berikut;

  1. Mizāj
  2. Nadi
  3. Urin
  4. Tinja

Pemerhatian mizāj boleh dilakukan dengan melihat beberapa aspek fizikal pada tubuh seperti kegemukan yang menunjukkan sifat basah, kekurusan yang menunjukkan sifat kering, kegelapan kulit yang menunjukkan sifat panas dan kecerahan kulit yang menunjukkan sifat sejuk.

Nadi juga boleh digunakan untuk mengetahui keadaan tubuh. Nadi yang cepat menunjukkan sifat panas, manakala nadi yang perlahan menunjukkan sifat sejuk. Nadi yang terasa penuh menunjukkan sifat basah, manakala nadi yang terasa kosong menunjukkan sifat kering. Pemerhatian nadi memerlukan sensitiviti yang tinggi, pengalaman yang banyak dan masa yang panjang.

Analisis urin dan tinja merupakan antara teknik diagnosis yang kompleks dalam Perubatan Ibnu Sina selain daripada analisis nadi.

Melalui urin dan tinja, seseorang perawat boleh mengetahui keadaan tubuh khususnya mengenai sistem penghadaman, sistem urinari dan ‘kematangan’ nutrien dalam tubuh. Warna yang gelap atau kemerahan menunjukkan sifat panas yang berlebihan, manakala warna yang cerah atau pucat menunjukkan sifat sejuk yang berlebihan.

PERUBATAN PRAKTIKAL

Perubatan Praktikal membincangkan aplikasi Perubatan Teoretikal demi mencapai dua matlamat ilmu perubatan, iaitu mengekalkan kesihatan dan menghilangkan penyakit. Jadi ada 2 tajuk utama bagi Perubatan Praktikal iaitu;

  1. Penjagaan Kesihatan
  2. Perawatan Penyakit

Penjagaan Kesihatan

Penjagaan kesihatan merupakan proses mengekalkan keadaan tubuh yang sihat supaya struktur dan fungsinya sentiasa normal. Penjagaan kesihatan menggunakan konsep persamaan, yakni keadaan tubuh dipastikan agar sentiasa sama pada setiap masa. Ringkasnya ia bersifat memelihara.

Penjagaan kesihatan boleh dicapai dengan menguruskan Punca Keadaan dengan baik, sama ada Punca Daruri seperti makanan, pergerakan dan perasaan, ataupun Punca Tidak Daruri seperti pakaian, permusafiran dan senaman.
Selain itu, terdapat penjagaan kesihatan yang bersifat khusus dengan merujuk kepada golongan tertentu seperti penjagaan bayi dan kanak-kanak (pediatrik) serta penjagaan orang tua (geriatrik).

Perawatan Penyakit

Perawatan penyakit merupakan proses mengembalikan keadaan tubuh yang tidak normal kepada keadaan tubuh yang normal semula. Perawatan penyakit menggunakan konsep pertentangan, yakni keadaan tubuh yang sakit itu dilawan dengan rawatan yang bertentangan dengan keadaan penyakit, supaya keadaan tubuh berubah kepada keadaannya yang asal. Ringkasnya ia bersifat memulihara.

Perbincangan perawatan penyakit melibatkan 3 perkara utama iaitu;

  1. Jenis Rawatan
  2. Teknik Rawatan
  3. Krisis Penyakit

Terdapat 3 jenis rawatan yang digunakan dalam Perubatan Ibnu Sina iaitu;

  1. Administrasi (tadbīr)
  2. Medikasi (adwiyah)
  3. Regimentasi (a‘māl al-yād)

Perawatan secara administrasi ialah perawatan dengan menguruskan Punca Keadaan. Contohnya ialah memperbetulkan cara makan, waktu makan, cara tidur, waktu tidur serta mengawal perasaan.

Perawatan secara medikasi ialah perawatan dengan menggunakan bahan-bahan yang bersifat ubatan seperti menggunakan herba dan akar kayu tertentu. Terdapat 3 jenis bahan ubatan yang utama iaitu mineral, tumbuhan dan haiwan.

Perawatan secara regimentasi ialah perawatan yang melibatkan penggunaan tangan, sama ada penggunaan tangan semata-mata seperti mengurut dan memperbetulkan sendi atau tulang yang mengalami dislokasi, ataupun penggunaan tangan berserta peralatan tertentu seperti pembekaman, pembedahan dan penyeterikaan (cauterization).

Perawatan penyakit dilakukan dengan menggunakan 3 teknik asas iaitu;

  1. Pengurangan
  2. Penambahan
  3. Pembetulan

Dalam Perubatan Ibnu Sina, humor merupakan komponen penting yang menentukan keadaan tubuh, kerana semua organ dalam tubuh mendapat bahan-bahan daripada humor, jika humor adalah baik maka baiklah organ-organ lain lalu sihatlah seseorang itu. Keadaan humor yang sebaliknya menghasilkan keadaan tubuh yang sebaliknya.

Atas dasar itu, kebanyakan penyakit berlaku dengan sebab keadaan humor yang tidak baik. Jadi penyelesaian pertama yang dilakukan oleh perawat adalah dengan mengeluarkan humor-humor tertentu melalui teknik pengurangan. Teknik ini lebih dikenali sebagai pengosongan (istifrāgh), ia dilakukan secara medikasi atau regimentasi. Contoh pengosongan secara medikasi ialah penggunaan herba tertentu untuk merangsang proses pemuntahan dan pencaharan. Contoh pengosongan secara regimentasi ialah melakukan pembekaman dan perdarahan.

Ada penyakit yang berlaku kerana nutrien yang berlebihan, bukan kerana kerosakan humor. Dalam penyakit sebegini, pengurangan bermaksud mengurangkan pengambilan nutrien yang berlebihan tersebut.

Teknik penambahan pula merujuk kepada proses menambahkan bahan tertentu khususnya nutrien ke dalam tubuh, sama ada kerana sesuatu penyakit itu disebabkan oleh nutrien yang tidak cukup, ataupun untuk mengembalikan nutrien dan bahan yang telah hilang setelah proses pengurangan atau pengosongan dilakukan.

Teknik perawatan yang seterusnya ialah pembetulan. Pembetulan merupakan perawatan yang bersifat kualitatif, berbanding dengan pengurangan dan penambahan yang bersifat kuantitatif.

Teknik pembetulan digunakan untuk memperbaiki mizāj tubuh seseorang yang terkeluar daripada mizāj yang sepatutnya. Contohnya ialah penggunaan herba yang bersifat Panas untuk menjadikan tubuh seseorang itu Sejuk, ataupun sebaliknya. Teknik pembetulan juga digunakan untuk penyakit yang melibatkan organ seperti pembetulan sendi dan tulang.

Krisis Penyakit merupakan tanda-tanda yang menunjukkan perubahan penyakit sama ada semakin baik iaitu Krisis Positif (buḥrān jayyid), ataupun semakin buruk iaitu Krisis Negatif (buḥrān radī’).

TAMMAT

Sharing is Caring
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *