Apa Itu Humor Dalam Perubatan Ibnu Sina

By | Februari 13, 2018

humor - cecair badan

Humor (akhlat) ialah semua jenis cecair tubuh badan yang terhasil melalui makanan dan minuman yang diambil. Setelah diserap oleh hati, zat makanan akan dipanaskan oleh hati.

Pemanasan yang sedikit kurang matang akan menghasilkan humor Kahak, pemanasan yang sederhana menghasilkan humor Darah, pemanasan yang sedikit melampau menghasilkan humor Hempedu Kuning, dan pemanasan yang sangat melampau akan menghasilkan humor Hempedu Hitam. Manakala, humor dalam bentuk air disebut humor berair.

Humor Kahak menjadi nutrien bagi organ otak dan saraf. Humor Hempedu Kuning digunakan oleh paru-paru dan pundi hempedu sebagai nutrien, manakala organ limpa menjadikan humor Hempedu Hitam sebagai nutrien. Organ-organ tubuh yang lain pula menjadikan humor darah sebagai nutrien.

Antara punca utama penyakit ialah apabila terhasil humor yang tidak elok di dalam tubuh badan. Antara punca terhasilnya humor yang tidak elok pengambilan makanan yang terlalu banyak menyebabkan terlalu banyak pula nutrien yang terpaksa diproses oleh hati, lalu hati gagal berfungsi dengan baik dalam penghadaman dan pematangan nutrien.

Terdapat empat jenis humor (akhlat);

  1. Damm (darah/blood).
  2. Balgham (kahak/phlegm).
  3. Safra’ (hempadu kuning/ yellow bile).
  4. Sawda’ (hempedu hitam/ black bile).

DAMM :

Damm diterjemahkan sebagai darah, namun maksudnya menurut Perubatan Ibnu Sina bukanlah seperti maksud darah yang biasa kita fahami. Ia merupakan suatu bahan tertentu dan mempunyai fungsi tertentu. Cecair yang berada di dalam salur darah bukanlah damm semuanya, bahkan keempat-empat humor itu boleh berada di dalam salur darah.

Damm mewakili unsur angin, ia bersifat panas dan basah, merupakan sebaik-baik humor. Fungsinya ialah membawa oksigen ke seluruh tubuh. Damm juga memberi nutrien tenaga ke seluruh tubuh dan juga nutrien pembinaan kepada organ-organ tertentu. Lokasi utama damm ialah di dalam salur darah.

BALGHAM :

Balgham mewakili unsur air, ia bersifat sejuk dan basah. Balgham diterjemahkan sebagai kahak, namun ia tidaklah merujuk kepada makna kahak yang sering difahami, ia mempunyai konsepnya yang tersendiri berdasarkan Perubatan Ibnu Sina.

Balgham boleh bertukar kepada damm apabila bekalan damm di dalam tubuh berkurangan. Ia juga berada pada organ-organ tertentu untuk melancarkan pergerakan dan melembutkan sesuatu organ.

Balgham memberi nutrien pembinaan kepada organ-organ tertentu seperti otak. Lokasi utama balgham ialah di dalam salur darah, lemak tubuh dan ruangan organ tertentu seperti mata dan sendi.

SAFRA’ :

Safra’ mewakili unsur api, ia bersifat panas dan kering. Safra’ berfungsi sebagai pelembut struktur darah, memasuki salur usus untuk penghadaman dan memberi nutrien pembinaan untuk organ-organ tertentu seperti peparu. Lokasi utama safra’ ialah di dalam salur darah dan pundi hempedu.

SAWDA’ :

Sawda’ mewakili unsur tanah, ia bersifat sejuk dan kering. Sawda’ berfungsi sebagai penebal struktur darah, memasuki salur  usus untuk merangsang selera dan rasa lapar serta memberi nutrien pembinaan kepada organ-organ tertentu seperti tulang.

Sawda’ jenis tidak tabii boleh terhasil daripada pembakaran humor lain secara berlebihan sehingga bertukar menjadi warna hitam, sawda’ jenis ini sangat berbahaya kepada tubuh dan boleh mendatangkan pelbagai penyakit yang serius seperti kanser. Lokasi utama sawda’ ialah di dalam salur darah dan limpa.

Dalam Perubatan Ibnu Sina, humor merupakan komponen penting yang menentukan keadaan tubuh, kerana semua organ dalam tubuh mendapat bahan-bahan daripada humor, jika humor adalah baik maka baiklah organ-organ lain lalu sihatlah seseorang itu. Keadaan humor yang sebaliknya menghasilkan keadaan tubuh yang sebaliknya.

Atas dasar itu, kebanyakan penyakit berlaku dengan sebab keadaan humor yang tidak baik. Jadi penyelesaian pertama yang dilakukan oleh perawat adalah dengan mengeluarkan humor-humor tertentu melalui teknik pengurangan.

 

Author: admin

Salam, saya Fadzil, lulusan pengajian Islam, kini bergiat dalam bidang perubatan Komplementari dan Traditional, berpengalaman selama 4 tahun merawat menggunakan terapi bekam dan herba kesihatan, telah ramai mendapat khidmat rawatan dengan kaedah bekam ini, mereka berjaya mendapat kesembuhan dari masalah kesihatan yang dihadapi dengan izin Allah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *