Apa Itu Detoksifikasi?

Apa Itu Detoksifikasi? 1

Aziz Al-Safi Ismail

Detoksifikasi adalah proses menyahtoksik dari badan kita, meneutralkannya dan mengubah toksin tersebut. Ia juga mengeluarkan lebihan lendir atau mukus serta kesesakan (congestion) yang berlaku pada tubuh. Kebanyakan toksin-toksin ini datang dari diet anda, ubat-ubatan dan dari persekitaran anda yang terdedah kepada toksin ini.

Detoksifikasi adalah satu proses yang merangkumi perubahan cara hidup dan pengambilan diet yang mengurangkan pengambilan makanan penyebab toksin dan mempertingkatkan pembuangan toksin dalam badan.

Elakkan bahan kimia, dari makanan atau sumber lain, makanan berproses, gula, kafein, alkohol, tembakau (tobacco) dan bahan kimia lain yang boleh mengurangkan beban toksin dalam badan anda. Lebihkan meminum air mineral yang tulen (purified) dan menambahkan pengambilan serat termasuk buah-buahan, sayuran dalam diet anda sebagai langkah untuk proses detoksifikasi.

Siapa yang memerlukan Detoksifikasi? Setiap orang perlu menyahtoksik, membersih dan merehatkan fungsi-fungsi dalam badan mereka pada waktu-waktunya. Pembersihan atau detoksifikasi adalah salah satu daripada trilogi tindakan nutrisi.

Dua komponen yang lain ialah membina atau membentuk, dan mengimbangi atau menyelenggara. Dengan diet seimbang yang tidak berlebihan, akan menghasilkan proses detoksifikasi yang kurang intensif. Namun, jika kita makan diet berlebihan yang mengandungi banyak lemak, daging, produk tenusu, makanan diproses dan bahan kimia, menyebabkan detoksifikasi menjadi lebih penting.

Apakah maksud ketoksikan (toxicity)?

Ketoksikan telah menjadi satu kebimbangan yang amat besar pada abad ke 20 daripada sebelumnya. Terdapat banyak bahan kimia lebih kuat dan yang baru diketahui serta pencemaran udara dan air, radiasi dan tenaga nuklear.

Setiap hari, kita mendedahkan diri kita dengan bahan kimia baru, menggunakan lebih banyak ubat-ubatan dari pelbagai jenis, mengambil makanan bergula dan makanan yang diproses secara berlebihan, malah, menyalahgunakan bahan stimulan dan sedatif ke atas diri kita.

Oleh sebab itu, masalah akibat toksin makin meningkat setiap hari. Penyakit kanser, kardiovaskular dan penyakit auto-imun menjadi akibat utama disebabkan oleh pendedahan berterusan terhadap toksin.

Toksin adalah bahan-bahan yang boleh menyebabkan masalah iritasi dan/ atau kesan bahaya terhadap tubuh badan kita. Ia menjejaskan kesihatan dan memberi tekanan terhadap fungsi organ dan fungsi bio-kimia dalam badan kita. Ini mungkin disebabkan oleh dadah yang mempunyai kesan sampingan atau dari corak fisiologi yang berbeza daripada fungsi dadah tersebut.

Dadah rekreasi (recreational drugs) juga menyebabkan kesan yang berbahaya. Radikal bebas (free radical) menyebabkan iritasi, keradangan, penuaan dan penyebab degenerasi (degeneration) ke atas tisu-tisu dalam badan. Malah, fikiran kita, emosi dan tekanan meningkatkan lagi ketoksikan bio-kimia dalam tubuh.

Detoksifikasi mental (mental detoxification) sangat penting untuk kita. Membersihkan minda kita dari pola-pola pemikiran negatif adalah penting untuk kesihatan. Detoksifikasi secara fizikal dapat membantu proses pemulihan mental ini.

Detoksifikasi secara emosi (emotional detoxification) membantu kita menyuarakan dan meluahkan perasaaan, terutamanya kekecewaan rasa yang dipendam, kemarahan, kebencian atau ketakutan, dan menggantikannya dengan kemaafan, rasa kecintaan, kegembiraan dan pengharapan.

Pada tahap spiritual pula, ramai orang telah mengalami pendekatan yang baru dan peningkatan tujuan hidup semasa proses pemulihan. Detox yang ringkas dilakukan selama beberapa hari dapat membantu kita berasa lebih baik. Proses perubahan cara hidup baru yang memakan masa dan memerlukan komitmen yang tinggi, seperti menghentikan tabiat yang buruk dan mengamalkan diet yang seimbang, dapat membantu kita mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik.

Organ-organ Detoksifikasi

Gastrousus: Hati, pundi hempedu (gallbladder), usus dan trek keseluruhan gastrousus (gastrointestinal tract)

Hati – Kunci kepada organ detoksifikasi. Ia menghasilkan jus hempedu (bile), yang berfungsi memecahkan lemak, membersihkan darah dan membuang toksin.

Usus – Usus kecil mempunyai panjang lebih kurang 21 kaki. Tempat terbesar penyerapan nutrien berlaku di sini. Manakala, usus besar pula mempunyai panjang lebih kurang 5 kaki, dan fungsi utamanya sebagai penyimpan sisa buangan dan penyerapan air dan elektrolit.

Pundi hempedu – tempat menyimpan dan memekatkan jus hempedu yang berfungsi untuk memecahkan makanan yang berlemak.

Urinari: Buah pinggang, pundi kencing dan saluran kencing

Buah pinggang – Membuang sisa air dan juzuk larutan, serta membantu mengawal pH dan mengeluarkan sisa toksin dalam darah.

Pernafasan: Paru-paru, tiub bronkial, tekak, sinus dan hidung.

Paru-paru – Membekalkan badan dengan oksigen (O2) dan membuang karbon dioksida (CO2).

Kulit dan dermis: Kalenjar peluh, kelenjar sebum dan air mata

Kulit – Organ badan yang terbesar. Ia mengeluarkan sejumlah besar sisa buangan selular melalui kelenjar peluh dan rembesan mukus.

Limfatik: Saluran limfa dan nodus limfa

Sistem limfa – mengambil sisa buangan intraselular dan membawanya ke saluran darah, kemudian ke organ penghapusan.

Saluran darah – membawa karbon dioksida ke paru-paru dan hasil sisa buangan daripada sel-sel dan sistem limfatik ke hati, buah pinggang, paru-paru dan kelenjar peluh. Ia juga melindungi kita daripada toksin-toksin dan bahan asing yang menceroboh dengan melalui sel-sel darah putih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *