Rawatan Bekam Sunnah

Secara mudahnya, bekam atau berbekam adalah merupakan proses membuang darah kotor yang bertoksin dan beracun yang berbahaya, dari tubuh badan kita melalui permukaan kulit.

Di dalam bahasa Arab, bekam dikenali sebagai Hijamah, sementara di dalam bahasa Inggeris pula ianya disebut sebagai Cupping.

Toksin adalah merupakan endapan racun atau zat kimia yang tidak dapat diuraikan oleh tubuh badan. Di antara sebab atau punca kehadiran toksin di dalam tubuh badan manusia ialah pencemaran udara, kandungan makanan masa kini yang mengandungi zat kimia yang tidak baik seperti bahan pengawet, pewarna, bahan berisa dan seumpamanya. Hasil pertanian yang diurus secara moden juga tidak ketinggalan dari masalah racun makhluk perosak.

Tabiat merokok juga menyumbang kepada masalah ini. Tidak ketinggalan juga penggunaan ubat-ubatan moden yang bersumberkan bahan kimia, yang mampu memberikan kesan sampingan merosakkan organ dan mikro organisma baik di dalam sistem tubuh badan.

Darah kotor yang mengandungi toksin ini juga dikenali sebagai darah beku yang menyumbat peredaran darah, sehingga mengakibatkan gangguan kepada sistem peredaran darah daripada berjalan lancar.

KEPENTINGAN BERBEKAM

Berbekam adalah merupakan amalan yang sangat-sangat diutamakan oleh Rasulullah s.a.w ketika hendak merawat penyakit, mahu pun untuk mengelakkan penyakit. Bahkan baginda juga sangat-sangat menggalakkan para sahabatnya melakukan amalan berbekam ini. Terdapat banyak hadis-hadis yang menyangkuti saranan berbekam ini.

Di antaranya ialah seruan penghuni langit, iaitu para malaikat, ketika berlakunya peristiwa israk dan mikraj :

Dalam riwayat Tirmizi  dari Ibnu Mas’ud dan riwayat Baihaqi :

“ Aku tidak berjalan di hadapan sekelompok malaikat pun  pada malam ketika aku diisrakkan, kecuali mereka berkata, ‘Wahai Muhammad, perintahlah umatmu agar berbekam! ’” (Sohihul Jami’ : 5671)

Dari Ibnu ‘Abbas r.a :

“ Tidaklah aku berlalu di hadapan sekelompok malaikat pun pada malam ketika aku diisrakkan, kecuali masing-masing dari mereka pasti mengatakan kepadaku, ‘Muhammad, hendaklah kamu berbekam! ”(Sohihul Jami’ : 5672, Al-Misykat : 4554).

Bayangkanlah, ketika di malam peristiwa yang amat bersejarah itu, ketika Rasulullah s.a.w di dalam perjalanan menemui Allah s.w.t, dan malam di mana perintah mengerjakan solat secara rasminya disyariatkan kepada umat Islam, para malaikat pula menyeru agar nabi Muhammad s.a.w dan umatnya berbekam.

Ini menunjukkan betapa amalan berbekam bukanlah sesuatu yang harus diremehkan

HADIS-HADIS BERKENAAN BEKAM

Selain daripada dua hadis yang telah dinyatakan di atas tadi, tedapat beberapa lagi hadis yang berbicara mengenai kehebatan amalan bekam. Ini sekali lagi menunjukkan betapa aktiviti berbekam itu mempunyai manfaat yang besar kepada umat manusia, dan tidak seharusnya ia dipersia-siakan.

Silalah memperhalusi hadis-hadis berikut bagi memperkuatkan keyakinan anda terhadap kegiatan bekam sebagai penyembuh dan pencegah penyakit yang sangat berkesan :

1. Dari Ibnu ‘Abbas r.a :“ Kesembuhan itu terdapat pada tiga hal, yakni minum madu, sayatan alat bekam, dan ‘kay’ dengan api. Sesungguhnya aku melarang umatku dari ‘kay’ ” (Sahih al Bukhari, At Thibb, Juz 1, halaman 5680)

2. Dari Jabir bin ‘Abdillah r.a ia berkata : Saya pernah mendengar nabi bersabda :
“ Jika ada yang terbaik pada ubat-ubatan kalian, maka itu terdapat pada sayatan alat bekam, minuman madu, atau sundutan dengan api (kay) yang tepat pada penyakit. Tetapi aku tidak sukat berubat dengan ‘kay’ ”(Sahih al Bukhari)

MENGAPA KITA HARUS BERBEKAM ?

Selepas 80 hingga 120 hari, sel-sel darah merah di dalam tubuh kita akan mati dan dibuang oleh hati (liver) akan tetapi, tidak kesemuanya dapat dikeluarkan. Oleh kerana sifatnya yang melekit dan tidak berfungsi, lama-kelamaan mereka akan memenuhi ruang-ruang urat kecil yang dipanggil kapilari, baik di sekeliling organ-organ penting dan juga di bawah kulit.

Sel-sel mati ini akan dibawa oleh arus perjalanan darah yang laju ke semua bahagian tubuh, dari kepala hinggalah ke kaki. Ia akan melekat diantara satu sama lain dan bercampur dengan asid urik, urea dan toksin.

Sel darah kotor ini akan berkumpul di lapisan bawah kulit sebelum dikumuhkan. Sel darah ini akan digantikan dengan sel darah merah yang baru. Darah yang baru mengandungi oksigen dan nutrien yang diperlukan oleh sel tubuh.

Sel darah yang rosak (darah kotor) yang gagal dikumuhkan dan masih hadir dalam sistem aliran darah menyebabkan faktor utama yang mengakibatkan kapilari tersekat dan tersumbat, kesannya akan menganggu pelbagai sistem badan dan menyebabkan kegagalan sistem limfa, ginjal dan hati tidak berfungsi dengan sempurna yang akhirnya akan menyebabkan pelbagai penyakit kronik.

Gejala awal yang dapat dirasai oleh tubuh badan ialah badan terasa lesu, letih, kebas kaki dan tangan, pening, cepat marah, cepat bosan, murung, mudah mengantuk dan mudah pitam.

Dengan ringkasan diatas, dapatlah disimpulkan keharusan berbekam kepada kita yang mana ia dapat mencegah tubuh badan kita daripada menjurus kepada penyakit-penyakit yang lebih kronik seperti diabetes (kencing manis), darah tinggi, migrain dan sebagainya.

Adalah menjadi tanggungjawab kepada kita untuk memastikan tubuh badan kita sentiasa sihat wal afiat dengan cara berusaha mencegah dan berdoa kepada Allah agar diberikan kesihatan supaya mudah beribadat kepadanya. Insya’Allah…

TEORI TAIBAH

Mengikut teori terbaru bekam iaitu Taiba Teori, tekanan negatif pada kawasan bekam oleh cawan bekam akan menyebabkan akumulisasi cecair pada kapilari, limfatik dan kawasan sekitarnya. Ini akan menyebabkan dilusi bahan bahan keradangan yang terdapat disekitarnya .

Apabila torehan dibuat dan mengaplikasikan tekanan negatif pada kawasan tersebut, cecair radang akan dikeluarkan dari kawasan keradangan dan dielakkan daripada dimasukkan semula kedalam kapillari.

Keadaan ini mampu untuk meningkat imuniti dan pengeluaran kimia opiods oleh kulit akibat daripada kesan torehan dan tekanan tersebut. Selain itu, ia dapat meningkatkan aliran darah dan cecair limfa yang membolehkan bekam menyeimbangkan hemeostasis dalam badan.

Sharing is Caring
  •  
  •  
  •  
  •  
  •